mutakhir

PAS okay Dr M kekal hingga PRU-15

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PAS tiada masalah sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, diberi peluang untuk terus kekal mentadbir negara sehingga habis tempoh sepenggal.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Dr Mahathir perlu diberi masa untuk melakukan pelbagai pembaharuan di negara ini.

“Lebih elok beliau habiskan penggal ini supaya dia boleh lakukan reformasi dimahukan. Sekiranya tempoh pendek, tidak banyak pembaharuan boleh dibuat.

“Kita tiada masalah, jika beliau teruskan untuk tempoh satu penggal kerana beliau dipilih melalui jalan demokrasi,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan ketika perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kali kedua, perwakilan dari Kelantan yang juga Ketua Bahagian BERSATU Bachok, Zulkifli Zakaria mencadangkan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang turut disokong lapan perwakilan negeri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dilaporkan membayangkan cadangan berkenaan tidak boleh dilaksanakan.

Pengerusi BERSATU itu dilaporkan berkata, perjanjian yang dibuat sebelum PRU-14 bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya beliau menjawat jawatan itu untuk sementara waktu, adalah satu pengorbanan yang perlu diterima ahli BERSATU.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 4:11pm
d