mutakhir

Pemandu kereta langgar lari diburu

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENUNGGANG motosikal maut selepas dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Kuala Perlis berhampiran Sekolah Kebangsaan Kayang, di Kangar, hari ini.

Mangsa, Jobeli Osman, 58, dari Utan Aji meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di anggota badan sebelum ditemui orang awam pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan awam melalui satu panggilan telefon pada jam 10.40 pagi.

Katanya, berdasarkan keterangan terbabit mayat mangsa ditemui terbaring di bahu jalan manakala motosikalnya berada di dalam parit berhampiran.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikalnya dari Utan Aji menghala ke Kuala Perlis sebelum dilanggar lari sebuah kenderaan lain dipercayai kereta sehingga terbabas ke bahu jalan.

“Ini kerana terdapat kesan remukan pada bahagian belakang troli muatan barang yang dipasang pada motosikalnya dan dipercayai mangsa meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui saksi,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Wari berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan suspek dan meminta saksi kejadian tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 4:38pm
d