mutakhir

Serah diri atau...

Oleh Mohamed Basyir

BAPA yang dilaporkan menyimbah anak perempuannya berusia lapan tahun dengan air panas di flat Kampung Melayu, Air Hitam Khamis lalu diminta menyerah diri bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis sudah mengenal pasti lokasi suspek berusia 41 tahun berkenaan berada selepas dia melarikan diri sejurus kejadian.

Beliau berkata, suspek bersama isteri dan anak bongsu mereka berada di luar Pulau Pinang.

“Kami meminta agar suspek dapat menyerah diri bagi diambil keterangan berhubung kes.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kami tahu di mana lokasi mereka berada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan suspek menyimbah anaknya dengan air panas selepas kanak-kanak perempuan itu didakwa mencuri wang RM10 milik ibunya di rumah mereka di sini.

Bagaimanapun berdasarkan siasatan, suspek bertindak sedemikian selepas berang dengan tindakan empat orang anaknya berusia tiga hingga sembilan tahun termasuk mangsa yang menghabiskan makanan dimasak isterinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

Sementara itu, polis masih menunggu laporan bedah siasat jenazah anggota polis dari cawangan khas yang maut selepas terjatuh dari pusat karaoke di Pulau Tikus bulan lalu.

Disiarkan pada: January 2, 2019 @ 5:42pm
d