mutakhir

Murah rezeki di laut dalam

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

DALAM kalangan rakan dan saudara rapat, dia dikagumi berikutan kemahiran menjinakkan pelbagai jenis ikan eksotik laut dalam dengan mudah.

Mohd Khairi Ahmad, 34, dari Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu amat mahir menggunakan teknik jigging ketika memancing di laut dalam.

Menerusi kemahirannya itu, sering kali dia berjaya menaikkan banyak jenis ikan eksotik antaranya, gerepoh atau giant trevally (GT), layaran, gerong, cermin, jemuduk, tenggiri, ebek dan wahoo.

Mohd Khairi berkata, ikan terbesar pernah dijinakkannya ialah jenis layaran seberat 20 kilogram (kg) manakala rekod paling banyak berjaya dipancing dalam tempoh sehari pula membabitkan 39 ekor ikan tenggiri.

“Setiap seekor daripadanya seberat antara empat hingga tujuh kilogram dan keseluruhannya bernilai lebih RM4,000.

“Saya ke laut seawal 6 pagi hingga 6 petang bersama tiga hingga enam rakan dan biasanya kami memancing di lubuk ikan berdekatan Pulau Perhentian, Pulau Redang dan di kawasan laut dalam.

“Semua ikan mempunyai kaedah tersendiri untuk dijinakkan, jika tersilap langkah ikan boleh terlepas kerana tali pancing putus.

“Setakat ni, ikan GT dan layaran yang paling mencabar untuk dinaikkan kerana ia terlalu agresif dan tidak kurang juga dengan ikan tenggiri yang mempunyai cabaran tersendiri,” katanya.

Menurutnya, walaupun menganggap aktiviti memancing di laut dalam sekadar hobi, dia melakukannya agak kerap iaitu sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Katanya, hasil diperoleh agak lumayan sehingga membolehkan dia menjana pendapatan sampingan.

“Saya pernah menaikkan kerapu pisang seberat dua kilogram kemudian terus menjualnya dengan harga RM70 sekilogram kepada penggemarnya.

“Jika diikutkan kerapu pisang ialah ikan paling sukar dipancing, tidak hairan sekiranya penggemarnya sanggup berbelanja lebih,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah menaikkan 23 ekor ikan gerong di perairan Kemaman dan dijual terus kepada peraih dengan harga RM1,600 pada 2016.

Menurut Mohd Khairi, aktiviti memancing ikan di laut dalam sudah sebati dengan jiwanya sejak lebih 15 tahun lalu.

“Saya mula serius memancing sejak berusia 18 tahun dan sehingga sekarang tidak pernah berhenti apatah ia membuatkan pemancing ‘ketagih’.

“Makin kerap dapat menjinakkan ikan, makin seronok jadinya,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 1:02am
d