mutakhir

Belajar bawah khemah

Oleh Suzianah Jiffar

SERAMAI 452 daripada 802 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid, lebih 200 kilometer (km) dari Kota Kinabalu, belajar di bawah khemah sejak Jun tahun lalu.

Difahamkan, sehingga sesi persekolahan baharu semalam, mereka juga terpaksa belajar di bawah khemah dalam keadaan hujan.

NSTP difahamkan, ini susulan kerja pembaikan bangunan sekolah yang menempatkan bilik darjah yang rosak teruk akibat dipukul ribut, pada Jun lalu, masih belum siap.

Sumber NSTP memaklumkan bahawa khemah itu digunakan sejak tahun lalu yang diberi oleh Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Difahamkan, ada enam khemah manakala meja panjang ada 47, kipas (12), kerusi (108) dan lapan papan putih untuk kegunaan murid daripada Tahun 2, 3, 4 dan 5 dengan 16 kelas keseluruhannya.

“Ini kerana arahan daripada Jabatan Pendidikan Sabah, pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) perlu diteruskan sehingga bangunan siap,” katanya sambil menambah sekolah itu mempunyai 802 murid keseluruhannya.

Difahamkan susulan arahan itu, pihak SK Pekan Telupid meneruskan PdPC setakat termampu.

“Keadaan terkawal dan bangunan yang rosak itu kini dalam proses pembaikan,” katanya.

Dalam kejadian pada 18 Jun lalu, atap di tiga bangunan sekolah itu rosak akibat ribut, bagaimanapun tiada kecederaan berlaku.

Sementara itu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee meminta agar pihak berkaitan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah agar mengambil tindakan sementara bagi menyelesaikan masalah dihadapi 452 murid di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, ini termasuklah memberi tempat belajar yang selesa sementara menunggu kerja pembaikan bangunan yang rosak dan bukannya di bawah khemah.

“Masalah ini sudah terlalu lama...sudah enam bulan dan kita berasa sedih melihat murid sekolah terpaksa belajar di bawah khemah yang sudah pasti tidak selesa.

“Sepatutnya bangunan itu sudah siap sebelum sesi persekolahan ini bermula...seharusnya sekolah di luar bandar juga perlu diberi perhatian.

“Oleh itu saya berharap kerja pembaikan sekolah ini dapat diselesaikan dengan segera bagi memberi keselesaan kepada murid,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 11:20am
d