mutakhir

Dua pegawai laut didakwa minta rasuah

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

DUA pegawai laut Jabatan Laut Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini masing-masing atas dua pertuduhan meminta serta memperoleh rasuah dan bersubahat melakukan perbuatan itu, empat tahun lalu.

Tertuduh, Sanizam Bachok, 45, dan Nor Yazid Khairi Mohamad Noor, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dihadapi mereka selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, Sanizam yang kini bertugas di Jalan Laut Malaysia, Pulau Pinang, didakwa meminta suapan RM70,000 daripada kakitangan syarikat perkapalan sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi tiga kapal.

Ketika kejadian, tertuduh adalah Pegawai Laut Gred 41 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan), manakala, Nor Yazid Khairi sebagai Pegawai Laut Gred 44 pula didakwa bersubahat dengan Sanizam melakukan perbuatan itu.

Bagi perbuatan yang dilakukan kira-kira 6 petang, 25 November 2015, Sanizam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, manakala Nor Yazid Khairi didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Sanizam didakwa secara rasuah memperoleh RM50,000 daripada kakitangan syarikat perkapalan itu bagi tujuan yang sama.

Nor Yazid Khairi pula didakwa bersubahat dengan Sanizam melakukan perbuatan itu yang dibuat kira-kira 11.10 pagi pada 27 November 2015.

Bagi perbuatan itu, Sanizam didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, manakala Nor Yazid Khairi menghadapi pendakwaan mengikut seksyen sama dengan pertuduhan pertamanya.

Bagi semua perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di restoran dekat Anjung Neighborhood Centre 5, Persiaran Ledang Heights, Iskandar Puteri di Johor Bahru, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan yang menawarkan jaminan RM50,000 terhadap kedua-dua tertuduh.

Sanizam dan Nor Yazid Khairi yang tidak diwakili peguam itu memohon jumlah ikat jamin ditawarkan dikurangkan memandangkan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan menetapkan 10 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 11:23am
d