mutakhir

'Boy Sanpeng' buat hal lagi!

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENGEDAR dadah dikenali sebagai ‘Boy Sanpeng’, ditahan di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada kejadian 1 tengah hari itu, lelaki berusia 41 tahun terbabit ditahan ketika sedang pelanggan tetapnya di parkir motosikal di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan lima ikatan gelang getah mengandungi heroin.

“Dadah berkenaan dibungkus di dalam 300 peket lut sinar dengan berat keseluruhan 527 gram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur, hari ini.

Shaharuddin berkata, hasil siasatan mendapati, suspek aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu, selepas keluar dari penjara atas kesalahan yang sama.

“Suspek pernah dipenjarakan atas kesalahan mengedar dadah namun masih tidak serik dan melakukan kegiatan yang sama.

“Suspek juga mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan lima rekod berkaitan membabitkan dadah,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan suspek untuk mengedar dadah.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 8 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 11:48am
d