mutakhir

Murid kulit rapuh berbalut ke sekolah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Terpaksa asingkan diri daripada rakan, tidak menyertai perhimpunan serta tidak makan di kantin sekolah antara situasi dihadapi Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy, murid tahun dua yang menderita penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh.

Lebih menyedihkan, penyakit dihidapi anak bongsu daripada tiga beradik sejak lahir itu menyebabkan ibunya, Ruziah Ismail, 38, terpaksa membalut seluruh badan anaknya setiap hari termasuk tangan akibat luka.

Setiap hari kanak-kanak itu hanya memakai baju sekolah, tetapi kasut sekolah terpaksa digantikan dengan selipar dan seluar sukan kerana ia lebih sesuai untuk keadaan luka yang dialaminya.

Penyakit dihidapi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang itu menyebabkan Ruziah terpaksa mengorbankan seluruh masanya menjaga Alif Firdaus dan hampir keseluruhan masanya dihabiskan di sekolah.

Ruziah berkata, Alif Firdaus tidak seperti kanak-kanak lain iaitu masanya di sekolah hanya dihabiskan di bangku kelas dan tidak dibenarkan bermain dengan rakan kerana bimbang lukanya semakin teruk sekiranya terjatuh.

“Alif tidak dibenarkan ke kantin sekolah dan setiap kali perhimpunan, saya akan menemaninya di dalam kelas.

“Sepanjang tahun lalu, masa saya banyak dihabiskan di sekolah demi menemani Alif dan begitu juga tahun ini.

“Setiap kali rehat, saya akan membawa makanan di sekolah dan Alif terpaksa memakai lampin pakai buang kerana dia sukar untuk mencuci najis berikutan jarinya sudah melekat antara satu sama lain disebabkan penyakit dihidapi.

“Setiap kali anak saya membuang air besar, pihak sekolah akan memaklumkan dan saya akan hadir ke sekolah untuk menukar lampin pakai buang.

“Begitulah rutin seharian saya setiap hari yang terpaksa hadir ke sekolah sekurang-kurangnya tiga kali sehari,” katanya yang tinggal di Kampung Chekok.

Dia bersyukur pihak sekolah memahami masalah dihadapi anaknya dan Alif Firdaus juga dikelilingi rakan baik walaupun keadaannya tidak seperti kanak-kanak lain.

“Setiap bulan kos untuk peralatan luka Alif mencecah RM2,000 dan suami hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan RM1,500.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ruziah di talian 013-9628970 atau akaun (7611159603 - CIMB).

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 2:47pm
d