mutakhir

Syukur anak berkongsi hati ayah

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Kasih bapa tiada tandingannya. Demikian pepatah sesuai untuk membayangkan pengorbanan lelaki ini yang sanggup mendermakan sebahagian hati buat puteri tersayang yang menghidap Biliary Atresia.

Mohamad Faqhrul Azhar Mohamad Zabandi, 33, yang kini masih berada di Shanghai, China bersyukur selepas hasil pemeriksaan pakar di negara itu mendapati sebahagian hatinya sesuai diberikan buat seorang daripada anak kembarnya, Siti Hawa yang berusia 10 bulan.

Mohamad Faqhrul dan Siti Hawa selamat menjalani pemindahan hati di Hospital Renji pada 20 Disember lalu.

Dia yang bekerja sebagai pengatur cara program berkata, sebelum itu dia risau apabila pemeriksaan mendapati isterinya, Maziana Abdul Majid, 36, tidak layak mendermakan hati buat anak mereka.

“Bagaimanapun, saya lega dan bersyukur apabila hati saya didapati bersesuaian dengan Siti Hawa, malah kami sudah selamat menjalani pembedahan dengan saya selama empat jam manakala Siti Hawa selama lapan jam.

“Kini saya sudah kembali pulih dan mata anak juga sudah tidak kuning malah perkembangan dia semakin sihat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, doktor memberitahu pembedahan Siti Hawa berjaya dan perutnya sudah tidak besar, air kencing dan najis normal manakala kulit dan mata sudah tidak kuning.

“Satu kelegaan buat kami kerana semuanya dipermudahkan Allah. Diharap Siti Hawa akan membesar dengan sihat bersama abang kembarnya, Muhammad Adam,” katanya.

Menurutnya, mereka dijangka pulang ke tanah air minggu depan dan berterima kasih kepada orang ramai yang menyumbang untuk tabung pembedahan anaknya.

“Terima kasih kepada penyumbang terutama Nadi Permata Malaysia yang membantu urusan kami dari awal hingga akhir.

“Tanpa duit sumbangan orang ramai, pembedahan Siti Hawa mungkin tidak dapat dilakukan segera,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kisah Siti Hawa yang dilahirkan secara normal dan sihat bersama kembarnya, Muhammad Adam namun sebulan kemudian, bayi perempuan itu disahkan menghidap Biliary Atresia.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 3:02pm
d