mutakhir

Rindu ibu 13 tahun...

Oleh Adnan Ibrahim

REMAJA perempuan bukan sahaja tidak pernah mendapat kasih sayang ibu kandung, malah mereka tidak pernah bersua muka selepas lima hari dilahirkan di Hospital Kluang pada 29 Julai 2006 lalu.

Ini kerana gadis itu yang diberi nama Nur Atiqah Abdullah, 13, diserahkan kepada keluarga angkatnya dan sehingga kini tidak pernah berjumpa dengan ibu kandung.

Nur Atiqah berkata, dia berharap dapat menemui ibunya yang bernama Fauziah Hussin, 36, (usia ketika ini) kerana ingin menatap wajah insan kesayangannya walaupun kini dia dijaga ibu angkatnya Mazlin Abu Bakar, 38.

“Apa yang difahamkan, ibu berpindah dari Kluang sebaik saya diserahkan kepada keluarga angkat tanpa dokumen lengkap selain gagal dikesan hingga sekarang.

“Keadaan itu menyebabkan saya berdepan masalah untuk mendapatkan Mykad termasuk pendaftaran masuk ke Tingkatan Satu pada tahun ini,” katanya kepada NSTP di Kluang, hari ini.

Katanya, pertemuan dengan ibu kandungnya bukan setakat mampu menghilangkan rasa rindu yang kian menebal, malah turut menyelesaikan masalah berkaitan dokumen diri yang dihadapinya.

Sementara itu, Mazlin berkata, ketika penyerahan Nur Atiqah kepadanya, dia hanya diberikan Sijil Daftar Kelahiran dan Surat Keizinan Pengangkatan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disertakan.

Katanya, dia tidak mempunyai Surat Penyerahan Anak Angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekali gus sukar untuk mendapatkan Mykad selain butir-butir lain yang tidak lengkap.

“Justeru, saya amat berharap ibu kandung Nur Atiqah tampil menemui kami di Kluang atau menghubungi talian 011- 50016788 bagi menyelesaikan masalah dihadapi ini.

“Tanpa Mykad dikhuatiri menyukarkan Nur Atiqah dalam pelbagai urusan berkaitan termasuk persekolahan dan perubatan pada masa depan,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 3:59pm
d