mutakhir

Pengunjung Teluk Chempedak tidak 'hirau' Pabuk...

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

WALAUPUN amaran angin kencang dan ombak besar sudah dikeluarkan pihak berkuasa, namun masih terdapat segelintir pengunjung di pantai peranginan di Pahang, tidak mengendahkan amaran itu.

Tinjauan NSTP di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan mendapati masih terdapat kelibat orang ramai yang mandi di kawasan pesisir pantai biarpun isyarat bendera merah dikibarkan.

Tidak mengetahui amaran angin kencang dan ombak besar yang sudah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) di kawasan Laut China Selatan, turut dijadikan alasan kebanyakan pengunjung untuk mandi dan melakukan aktivi air seperti meluncur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Kamerul Bieza Kassim berkata, pegawai dan anggotanya sentiasa menjalankan pemantauan rutin pada musim tengkujuh ini di beberapa pantai di Kuantan.

Katanya, rondaan di kawasan pantai yang dikenal pasti menjadi tumpuan pengunjung dilaksanakan secara konsisten termasuk memberikan nasihat mengenai bahaya untuk menjalankan sebarang aktiviti air pada masa ini.

“Anggota kita yang meronda akan memberikan nasihat kepada mereka supaya tidak mandi dan menerangkan mengenai bahaya mandi di pesisir pantai selepas amaran dikeluarkan.

“Nasihat ini turut diberi kepada pelancong asing kerana kita tidak mahu sebarang perkara yang tidak diingini terjadi,” katanya.

JMM sebelum ini memberi amaran mengenai fenomena ribut tropika Pabuk boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebih 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebih 3.5 meter di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Ia dijangka berlaku mulai hari ini dan orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan pesisir pantai.

Sementara itu, Kamerul Bieza berkata, anggotanya yang membuat rondaan akan memaklumkan pengusaha resort supaya memberi peringatan kepada pelanggan mereka mengenai risiko yang perlu ditanggung sekiranya masih ingkar.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 5:45pm
d