mutakhir

'Surat lain yang sampai...'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEKUMPULAN imam yang dipecat daripada jawatan mereka di kariah masing-masing, menuntut penjelasan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung tindakan yang dikenakan terhadap mereka.

Seorang daripada imam yang enggan dikenali berkata, tindakan itu sedikit sebanyak menimbulkan keraguan dalam kalangan mereka.

“Seingat kami, hubungan antara jemaah kariah dan jawatankuasa masjid adalah baik cuma kami tidak dibenarkan pihak JAIPs untuk membaca zikir dan doa secara kuat selepas solat berjemaah, selain tidak boleh membaca qunut pada solat Subuh.

“Itu juga kami turutkan, cuma kami kuatkan bacaan zikir selepas solat yang bertujuan mengajar jemaah yang masih tidak menghafal zikir berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kangar, hari ini.

Imam berusia 60-an itu berkata, mereka kesal kerana tiada pertemuan yang dibuat antara JAIPs dan kumpulan imam berkenaan sebelum keputusan pemecatan dibuat.

“Jika nak diikutkan, kontrak saya sebagai imam selama dua tahun dan tamat Disember lalu, namun jawatankuasa masjid ada menghantar surat sokongan agar kontrak diperbaharui.

“Namun, lain pula ceritanya apabila surat penamatan kontrak pula yang sampai Selasa lalu, malah ada unsur ugutan penahanan wang sagu hati dalam surat berkenaan sekiranya kami mengambil tindakan yang dilihat mencemarkan imej JAIPs,” katanya.

Justeru beliau berkata, beberapa masjid dalam negeri ini akan mengadakan satu himpunan bantahan aman selepas solat Jumaat esok di masjidnya dan beberapa masjid lain yang turut terkesan dengan tindakan itu.

NSTP melaporkan seramai 25 imam kariah sekitar Perlis dipecat, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan melalui surat berkuat kuasa Selasa lalu.

Surat yang dikeluarkan JAIPs bertarikh 31 Disember 2018 itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada rekod rujukan pada bahagian atas surat ditulis, selain notis yang dikeluarkan itu dianggap terlalu singkat.

Berita berkaitan

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 5:51pm
d