mutakhir

Angin setokol 'sapu' warung

Oleh Helmy Abd Rahman

“SAYA nampak angin setokol (setongkol) datang dari arah jalan sebelum ‘sapu’ kedai saya,” kata Embak Yusof, 74, pemilik warung di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, keseluruhan struktur warung berkenaan tercabut dan diterbangkan angin sejauh 10 meter.

Difahamkan ketika kejadian, terdapat 15 pelanggan sedang menjamu selera di warung berkenaan selain empat pekerja, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Embak, kejadian berlaku sejurus dia selesai memasak lauk-pauk untuk hidangan tengah hari.

“Angin tu tak lama, dalam 10 minit saja, tapi dia (angin) setokol mari (datang). Mula-mula tiang terangkat, lepas itu terus semua tiang tercabut dan diterbangkan angin.

“Pelanggan agak ramai ketika itu, lebih kurang 15 orang sedang nak makan, tapi lepas tu terpinga-pinga. Mujur tiada siapa yang cedera,” katanya ketika ditemui di tapak warungnya.

Katanya, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 akibat kejadian yang pertama kali dialaminya sejak berniaga di kawasan itu kira-kira 30 tahun lalu.

“Saya baru saja pasang (bina) struktur tiang dan bumbung kedai tiga bulan lalu dengan belanja RM7,000.

“Kalau diikutkan mungkin hampir RM15,000 rugi sebab 90 peratus kedai saya rosak,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 7:21pm
d