mutakhir

'Jiha selamat, tapi keliru...'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

“SYUKUR, Alhamdullillah. Jiha selamat ditemui dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu,” kata Rahimi Mustafa, 58, bapa kepada Nur Najiha, 25, yang dilaporkan hilang sejak petang Isnin lalu.

Nur Najiha yang juga guru agama dan warden di Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Jertih ditemui dalam keadaan selamat di Bandar Permaisuri, Setiu kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Menurut Rahimi, Nur Najiha yang mesra disapa Jiha dalam kalangan ahli keluarga masih dirawat di Hospital Setiu dengan keadaannya masih lemah dan trauma.

“Dia tidak banyak bercakap dan seolah-olah keliru dengan apa yang berlaku. Saya dan ahli keluarga yang lain tidak mahu memaksanya menceritakan apa yang terjadi kepadanya.

“Bagi kami, apa yang penting Jiha selamat. Mengenai apa yang berlaku kepadanya kita tunggu keadaannya sihat, sebab ketika ini dia masih lemah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rahimi yang juga pesara guru berkata, anaknya itu keluar dari rumah mereka di Kuala Terengganu pada petang Ahad lalu untuk ke madrasah berkenaan bagi menguruskan sesi pendaftaran pelajar pada keesokkannya.

Katanya, anak keempat daripada 11 beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan selama berada di rumah.

“Saya difahamkan Jiha keluar pada petang Isnin selepas selesai pendaftaran, dan dia ada maklumkan kepada rakannya untuk keluar.

“Bagaimanapun, rakannya menghubungi saya apabila Jiha tidak pulang walaupun sudah jam 10 malam (Isnin).

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih kerana bimbang keselamatan dirinya selain turut menularkan kehilangan Jiha di laman sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Setiu menemui kereta Perodua Bezza milik guru terbabit di parkir berhadapan sebuah bank berhampiran persimpangan lampu isyarat Bandar Permaisuri.

“Ketika ditemui, guru terbabit berada di dalam kereta dengan enjin dan penghawa dingin kereta dimatikan, namun hanya ‘blower’ dibuka.

“Dia juga berada dalam keadaan keletihan sebelum dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, kes kehilangan Nur Najiha menjadi tular di media sosial sejak petang semalam selepas ahli keluarga gagal mengesannya sejak petang Isnin lalu.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 8:20pm
d