mutakhir

Tidak tuding jari mana-mana pihak - TPM [METROTV]

Oleh Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Ariff

DATUK Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil pendekatan menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung isu alam sekitar dan kejadian bencana alam di Cameron Highlands.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri menegaskan pihaknya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik menangani masalah itu di samping memastikan kebajikan penduduk dan pekebun terpelihara.

“Kita boleh cari salah ini, cari salah itu, tetapi apa penyelesaiannya?

“Bukan sahaja isu (penerokaan tanah) (untuk) pertanian, tetapi juga pembinaan bangunan tinggi boleh memberi ‘sumbangan’ kepada faktor tanah runtuh.

“Jadi, kita mahu tangani isu tanah runtuh, tetapi isu kebajikan pekebun kecil,” katanya berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bersama persatuan pekebun Cameron Highlands di Tanah Rata, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, beliau diberi taklimat mengenai isu penerokaan tanah dan kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di daerah peranginan tanah tinggi itu dan meminta semua pihak di situ bersama-sama berusaha menangani masalah berkenaan.

Katanya, semua isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Ops Gading yang dipengerusikannya pada 27 Disember lalu.

Beliau memahami keluhan golongan pekebun kecil di situ yang telah mengusahakan pertanian sejak beberapa generasi, berhubung pelbagai isu membabitkan kawasan pertanian serta pendapatan mereka.

Pada majlis itu, enam persatuan pekebun menyerahkan memorandum 12 perkara mengenai isu berkaitan situasi semasa komuniti pekebun Cameron Highlands kepada Dr Wan Azizah.

Dua belas perkara itu ialah mengenai pendudukan tanah sementara (TOL); ketidakcukupan sumber manusia; kekurangan input pertanian, infrastruktur dan fasiliti; kekurangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D); kekurangan pembiayaan dan kos input yang tinggi.

Sumber pengairan air pertanian; makmal ujian minimum tahap keladak (MRL); keperluan penguatkuasaan bertindih; industri dikuasai oleh pekebun kecil; skim penempatan atau perindustrian semula dan dasar pertanian tanah tinggi mapan.

Enam persatuan terbabit ialah Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands, Pertubuhan Pengusaha Bunga-bungaan Cameron Highlands, Pertubuhan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands, Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-sayuran Cameron Highlands dan Persatuan Pekebun Kecil India Cameron Highlands.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 9:12pm
d