mutakhir

Terengganu siap-siaga hadapi Pabuk

Oleh Adrian David dan Zaid Salim

WALAUPUN ribut tropika Pabuk tidak mendatangkan bahaya kepada negeri ini, pihak berkuasa tidak mengambil risiko dan mengambil sikap sentiasa bersiap-siaga sepanjang masa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Yahya berkata, pihak berkuasa sentiasa memantau pergerakan ribut berkenaan di kawasan pinggir pantai di Laut China Selatan.

“Menerusi gambar satelit, dapat disaksikan Pabuk, angin berkelajuan 60 kilometer (km) sejam, akan melepasi negeri ini tanpa mendatangkan bahaya kecuali mungkin di sebelah timur-utara Terengganu iaitu di Kuala Besut sebelum bergerak ke Kelantan dan Indochina.

“Bagaimanapun, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu tetap diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia memberi bantuan kepada mangsa.

“Jika perlu, mungkin kita akan minta bantuan daripada persekutuan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai operasi bencana daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di bilik gerakan bencana negeri di Paya Keladi di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam Abd Rahman; Pengarah Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) Terengganu, Rosli Zakaria dan wakil agensi lain yang terbabit.

Abdul Rahman berkata, tiada laporan kerosakan bangunan manakala paras air sungai berada pada paras selamat.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada menjalankan aktiviti di air termasuk sungai, tasik dan laut pada masa ini.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan negeri, Tun Faisal Tun Abdul Razak, berkata pihaknya berharap Pabuk tidak menjejaskan industri pelancongan negeri ini.

Pulau percutian di negeri ini, antaranya, Pulau Bidong, Redang, Perhentian dan Lang Tengaj menarik kunjungan lebih 200,000 pelancong setiap tahun.

Met Malaysia dalam kenyataan media sebelum ini memberi amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer (km) sejam dan laut bergelora serta ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter (m) dijangka melanda kawasan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

Sementara itu, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Sarawak dan Sabah Barat sehingga tempoh sama.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 9:33pm
d