mutakhir

Juruteknik maut tercampak, diseret lori

Oleh Faris Fuad

JURUTEKNIK Jabatan Kerja Raya (JKR) Putrajaya maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 6.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menghala ke Putrajaya, malam ini.

Dalam kejadian pada jam 7.07 malam, motosikal Yamaha Nmax mangsa, Mohamad Roslan Othman, 36, itu hilang kawalan dan merempuh sisi kanan belakang kereta Honda Accord yang sedang berhenti di laluan kiri lebuh raya berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Saleh, berkata ia menyebabkan mangsa tercampak ke bawah sebuah lori yang sedang bergerak di lorong tengah jalan.

“Lori itu seret mangsa bersama motosikalnya lebih kurang 40 meter sebelum berhenti di bahu kiri jalan selepas mendapati terdapat bunyi seretan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemandu kereta dan lori berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata lebuhraya itu mempunyai tiga lorong laluan sehala dan satu lorong kecemasan.

“Tindakan susulan polis termasuk mengesan saksi bebas.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2019 @ 10:11pm
d