mutakhir

PATI ditahan sedang cari rezeki

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SERAMAI 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di kafeteria dan projek perumahan sekitar Jitra ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi bermula pada 10.30 pagi hingga 4.30 petang itu, seramai 47 warga asing diperiksa.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, semua PATI terbabit sedang bekerja dan tidak menyedari kehadiran 13 anggota yang mengepung kawasan serbuan.

“Seramai 15 warga asing berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan selepas mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dan tidak memiliki permit atau dokumen palsu.

“Mereka terdiri daripada enam warga Indonesia, tiga warga Myanmar, empat warga Thailand dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan Kemboja,” katanya dalam kenyataan di Jitra, hari ini.

Zuhair berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) dan Per.39 (B) Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

Semua yang ditahan dibawa ke lokap di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum akan dihantar ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 10:08am
d