mutakhir

DBKL roboh kuil haram

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KUIL yang dibina berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur, dirobohkan selepas didapati tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.

Difahamkan kuil berkenaan dirobohkan oleh anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Lembah Pantai selepas menerima maklumat berhubung kewujudan rumah ibadat berkenaan kira-kira 9 pagi.

Binaan konkrit yang dibina berhampiran pokok di lokasi berkenaan dipecahkan, manakala patung diletakkan bagi tujuan upacara sembahyang turut ditanggalkan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan sebarang pembinaan rumah ibadat baru perlu mendapat kebenaran daripada PBT dan mana-mana rumah ibadat tidak lagi boleh dibina di atas tanah yang bukan milik mereka.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan perkara itu hujung November lalu memaklumkan, tindakan berkenaan penting bagi mengelak sebarang masalah yang timbul pada masa akan datang terutama apabila pemilik tanah menuntut semula hak mereka.

Ini berikutan tercetus kekecohan di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Height, Subang Jaya pada 26 November lalu sehingga hampir mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Dalam kekecohan itu juga, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu, 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 11:32am
d