mutakhir

Pekerja hotel disamun, dicabul [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

POLIS sedang memburu empat suspek kes samun hotel di Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, yang turut mencabul pekerja wanita hotel berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Razali Mohd Tahir berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat serta mengesan kesemua empat suspek berkenaan.

Katanya, dalam kejadian 5.45 pagi Rabu itu, mangsa sedang bertugas menjaga kaunter hotel berkenaan sebelum pintu loceng hotel dibunyikan seorang daripada suspek.

“Beranggapan suspek mahu menginap di hotel itu, mangsa membuka pintu utama hotel yang dikunci secara automatik bermula tengah malam hingga pagi itu sebelum seorang lelaki masuk dan meluru ke arahnya.

“Lelaki berkenaan kemudian mengacukan parang ke arah mangsa sebelum merentap rantai leher dan gelang emas milik mangsa.

“Ketika kekalutan itu, dua lagi suspek masuk ke dalam premis hotel untuk bersama menyamun mangsa, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar hotel.

“Barang yang dilarikan keempat suspek berkenaan termasuk motosikal jenis Yamaha 125Z warna biru, sebuah televisyen LCD 32 inci jenama Sharp serta wang tunai RM350, malah seorang daripada suspek turut mencabul mangsa wanita berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Dua rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan yang masing-masing berdurasi satu minit 34 saat tular sejak semalam antara lain memaparkan dengan jelas bagaimana suspek berkenaan memasuki premis hotel, mengacukan parang, menyerang serta menyamun mangsa sebelum beberapa suspek lain menyelongkar kaunter dan melarikan barangan termasuk televisyen milik hotel itu.

Razali berkata, ketika kejadian seorang lagi kakitangan hotel iaitu seorang lelaki berada di bahagian belakang namun tidak dapat berbuat apa-apa akibat diugut keempat suspek.

“Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan, selain percaya kesemua keempat-empat suspek masih berada di daerah ini, ” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 1:36pm
d