mutakhir

'Agong dah mulakan tugas' - PM

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah memulakan tugas baginda kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pelbagai cerita kononnya Sultan Muhammad melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong hanya sekadar khabar angin.

“Saya pun hanya dengar khabar angin tetapi setahu saya baginda sudah mula bertugas,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sejak semalam, tular di media sosial mendakwa satu mesyuarat khas Majlis Raja-raja kononnya membuat keputusan meminta Yang di-Pertuan Agong berhenti secara terhormat jika tidak mahu disingkir daripada jawatan itu sebelum 9 Januari ini.

Ditanya mengenai perkara itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan berita itu hanya sekadar khabar angin.

“Seperti anda, saya juga hanya mendengar khabar angin.

“Setakat ini tiada sebarang pengumuman atau surat rasmi (Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat khas),” katanya.

Sultan Muhammad sebelum ini beristirahat menjalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas Yang di-Pertuan Agong dipangku timbalan baginda, Sultan Nazrin Shah yang juga Sultan Perak.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 1:51pm
d