mutakhir

Pemandu lori tangki parah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEMANDU lori tangki parah selepas kenderaan itu terbabas dan terbalik dipercayai akibat tayar pecah di Kilometer 259.3 Lebuhraya PLUS berhampiran susur Plaza Tol Port Dickson di Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Kamarudin Mohammad, 50, parah di kepala dan badan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Senawang ke Pelabuhan Klang, Selangor untuk mengambil muatan minyak sawit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Amer Abu Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan 11.53 pagi dan sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, mangsa masih berada dalam kenderaan kerana kakinya tersepit. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkannya.

“Mangsa yang parah kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, siasatan awal mendapati lori tangki berkenaan terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelum terbalik.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 4:40pm
d