mutakhir

Mufti Perlis, Pengarah JAIPs didesak letak jawatan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar mendesak Mufti Perlis dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) meletak jawatan berhubung isu pemecatan 25 orang imam di Perlis.

Wakil kumpulan itu, Eishar Mat, 62, berkata tindakan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah JAIPs Dr Hazman Hassan mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam di negeri berkenaan.

“Alasan penamatan kontrak yang diberikan beliau (Mohd Asri) adalah usia dan disiplin, sedangkan masih ada lagi masjid lain imamnya berusia lebih daripada 70 tahun.

“Kami katakan dia pengecut kerana tidak berlaku jujur, sedangkan alasan sebenarnya adalah imam berkenaan dipecat kerana membaca doa qunut pada waktu subuh dan berzikir kuat selepas solat fardu.

“Jika dilihat masjid kampung ini begitu aktif sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Malah, imam kami sebelum ini aktif menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan mustahil hanya atas alasan usia beliau dipecat,” katanya.

Terdahulu, kumpulan sama turut berkumpul di perkarangan masjid selepas solat Jumaat, hari ini bagi menyuarakan bantahan mereka susulan pemecatan 25 imam di Perlis berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perkara sama turut diakui ahli kariah, Adnan Hat, 55, yang mendakwa kesemua imam terbabit sebenarnya dipecat atas alasan pegangan amalan mereka yang tidak selari dengan amalan rasmi negeri ini.

“Pada awal bulan lalu, pihak JAIPs ada mengadakan pertemuan bersama kesemua imam yang dipecat ini bagi membincangkan sama ada mereka akan meneruskan amalan yang diamalkan selama ini.

“Namun, imam ini berkeras tidak mahu mengikuti amalan rasmi negeri, lalu mereka mendapat surat penamatan kontrak pada 31 Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew ketika ditemui di perkarangan masjid berkenaan berkata, pihaknya menerima laporan ada sembilan masjid di Kangar akan mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat.

“Masjid terbabit terletak di kawasan kariah Jalan Batu 2, Behor Lateh, Kampung Tok Jambu, Santan.

“Seramai 100 orang pegawai dan anggota polis dikerahkan bagi memastikan keadaan terkawal. Setakat ini tiada tangkapan dilakukan kerana perhimpunan berlangsung secara aman,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 6:09pm
d