mutakhir

[UPDATE] Keputusan sudah muktamad - Mufti Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TINDAKAN sekumpulan ahli kariah masjid berhimpun bagi mendesak Mufti Perlis agar meletak jawatan dilihat sia-sia kerana tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada umat Islam di Perlis.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, himpunan itu tidak dapat mengembalikan semula jawatan kesemua imam yang ditamatkan kontrak pada Selasa lalu.

“Sebenarnya faktor utama mereka (imam) ini membuat bantahan adalah disebabkan elaun dan selesa menerimanya melalui peruntukan tersedia sebelum ini.

“Tidak timbul sebenarnya isu qunut, zikir kuat dan bacaan doa kuat selepas solat fardu. Bagilah peluang kepada orang lain yang lebih muda dan kuat hafalannya menjadi imam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, seramai 150 ahli kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar mengadakan bantahan selepas solat Jumaat bagi mendesak Mufti Perlis dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) meletak jawatan berhubung isu pemecatan 25 orang imam di Perlis.

Mohd Asri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada parti politik tertentu yang seolah-olah memainkan peranan mereka dalam memperbesarkan isu berkenaan.

“Kadang-kadang ada sebilangan masjid, ahli keluarga sahaja yang memenuhi jawatan dalam institusi masjid itu.

“Seolah-olah ada elemen parti tertentu yang mempengaruhi mereka dalam isu ini sedangkan negeri lain yang tidak sambung kontrak imam masjid tidak pula menjadi isu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan beliau yang dilihat seolah-olah mendominasi institusi keagamaan di Perlis, Mohd Asri berkata, itu adalah sebahagian daripada bidang tugas beliau.

“Salahkah saya sebagai orang kedua terbesar dalam institusi agama negeri selepas Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis mengulas akan perkara ini?

“Sedangkan saya juga merujuk kepada JAIPs dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Perlis (MAIPs) berhubung perkara ini dan tidak timbul sebenarnya isu saya layak atau tidak,” katanya.

Berita berkaitan

Mufti Perlis, Pengarah JAIPs didesak letak jawatan

[UPDATE] Dipecat kerana masalah disiplin, faktor usia

'Surat lain yang sampai...'

[UPDATE] Mufti jawab dalam kuliah malam ini...

'Hanya istana boleh lakukan' - Mufti Perlis

Perlis pecat 25 imam

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 8:00pm
d