mutakhir

Dikhuatiri lemas lepas terjun bot

Oleh Harun Yahya

LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjun ke sungai dari sebuah bot ekspres di Terminal Ekspres Sibu di Sibu, tengah hari tadi..

Pemangku Ketua Zon 4 Bomba dan Penyelamat Sarawak, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, kejadian dilaporkan orang awam yang melihat insiden berkenaan.

“Menurut saksi, lelaki berusia lingkungan 20-an itu yang berpakaian baju dan seluar sukan warna hitam berdiri di belakang bot ekspres sebelum terjun ke sungai.

“Mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus dan tenggelam,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini hari ini.

Bertindak atas laporan berkenaan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan membabitkan enam anggota bomba bersama dua anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat petugas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).

“Pasukan penyelamat membuat pencarian awal di tebing sungai dengan teknik pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dikatakan terjun sebelum menyusuri bahagian hilir sungai menggunakan bot.

“Kawasan pencarian membabitkan keluasan dua kilometer. Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan jam 4.30 petang tadi akibat hujan lebat. Setakat ini mangsa masih gagal dijumpai dan identiti lelaki berkenaan belum diketahui,” katanya.

Disiarkan pada: January 4, 2019 @ 8:09pm
d