mutakhir

42 dicekup kerana dadah

Oleh Wan Faizal Ismayatim

EMPAT puluh dua individu termasuk 13 warga asing ditahan atas kesalahan berkaitan dadah di Kota Kinabalu dalam tempoh seminggu antara 27 Disember hingga Khamis lalu.

Mereka yang berusia antara 16 hingga 43 tahun itu ditahan di beberapa lokasi dalam operasi membanteras dadah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 12 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala 30 lagi didapati positif pelbagai jenis dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Daripada 42 tangkapan itu, 29 suspek adalah warga tempatan manakala 13 lagi warga asing.

“Sepanjang tempoh itu, polis merampas 15.95 gram dadah jenis syabu bernilai RM2,392 mengikut harga pasaran semasa,” katanya hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

- Pix Ihsan Polis (SA050119MR001)

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 12:15pm
d