mutakhir

Tulang rapuh hati waja

Oleh Redzuan Muharam

PETALING JAYA: “Penyakit dialami menyebabkan saya tidak dapat bergiat aktif dalam sukan ketika di sekolah walaupun ada keinginan untuk mencuba seperti individu lain.

“Namun, saya tidak berputus asa dan mencari peluang hingga menyertai sukan bola tampar duduk dan maraton selepas tamat pengajian di kolej,” kata pesakit tulang rapuh atau Osteogenesis Imperfecta tahap satu, Daniel Lee, 27.

Daniel yang juga anak kedua daripada tiga beradik mengalami penyakit itu sejak lahir dan kekurangan fizikal sering menyebabkan dirinya menjadi mangsa buli ketika di sekolah.

Meskipun begitu, ibunya, Liew Fook Ngoh, 51, sentiasa memberi dorongan hingga memberinya kekuatan meneruskan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Ketika kecil, saya tidak aktif dalam sukan kerana tulang tidak kuat dan mudah rapuh jika terlalu banyak bergerak.

“Jadi, hasrat bersukan ataupun menyertai kejohanan tidak kesampaian lagipun tiada peluang dan platform khusus untuk OKU seperti saya menyertai kejohanan ketika itu.

“Bagaimanapun, selepas tamat pengajian peringkat diploma di kolej iaitu pada 2012, saya memberanikan diri menyertai sukan bola tampar duduk dan pada masa maraton walaupun dengan berkerusi roda,” katanya ketika ditemui di We & I Art Fest di Oasis, Ara Damansara di sini.

Menurut Daniel, penyertaannya dalam sukan bola tampar duduk dan maraton pada mulanya untuk mencabar kemampuan diri selain pengalaman baru yang tidak pernah dirasai sepanjang zaman persekolahan.

Namun, kepuasan diperoleh memberinya semangat menyertai lebih banyak kejohanan sukan yang dianjurkan.

“Saya membabitkan diri dalam kedua-dua sukan itu pada tahun sama tetapi bermula dengan sukan maraton yang mana kejohanan pertama saya adalah KL Maraton Standard Chartered (SCKLM) 2012 menerusi acara terbuka 10 Kilometer (KM).

“Manakala, penyertaan dalam acara bola tampar duduk pula ketika Sukan Paralimpiad Malaysia 2012 sebelum berterusan menerusi kejohanan lain pada tahun berikutnya.

“Penyertaan saya dalam kejohanan itu bukan untuk memburu kemenangan atau kedudukan teratas tetapi bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat termasuk OKU yang selama ini mahu menceburi bidang sukan tetapi tiada keyakinan,” katanya yang berazam untuk merebut tempat dalam kejohanan Tokyo Paralimpik 2020 di Jepun walaupun berstatus atlet persendirian.

Daniel berkata, selain menceburi sukan, dia mengambil tawaran sebagai penceramah motivasi di sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) dan syarikat korporat.

Menurut Daniel, walaupun melakukannya secara sambilan, kerjaya sebagai penceramah motivasi secara tidak langsung meningkatkan keyakinannya untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Sebenarnya, sebelum tamat pengajian lagi saya sudah mengambil tawaran sebagai penceramah motivasi dan kebiasaannya, perkongsian menjurus kepada pengalaman sepanjang menjalani kehidupan sebagai OKU.

“Meskipun masih baru dalam bidang ini, saya gembira kerana peluang sebagai penceramah itu memberi saya platform untuk memanfaatkan pengetahuan dipelajari sepanjang menuntut dalam jurusan psikologi.

“Sekurang-kurangnya, apa yang saya pelajari tidak disia-siakan dan membuka mata masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 12:26pm
d