mutakhir

Notis amaran Pabuk ditamatkan

Oleh Mahaizura Abd Malik

CUACA buruk melanda beberapa negeri sejak seminggu lalu kembali pulih apabila ribut Tropika Pabuk semakin menjauhi kawasan perairan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Alui Bahari berkata, kedudukan terkini ribut berkenaan adalah di Latitud 8.9 Utara dan Longitud 98.2 Timur kira-kira 88 kilometer ke Barat Surat Thani, Thailand menuju ke Teluk Benggala.

"Ia tidak memberi ancaman kepada negara, namun keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di kawasan perairan Phuket. "Kedudukan jarak ribut ini dari bandar Arau, Perlis ialah 362 km dan kira-kira 345 km ke barat Laut Langkawi, Kedah," katanya ketika dihubungi.

Katanya, JMM meramalkan keadaan cuaca dalam negara kembali normal dalam tempoh seminggu.

"Keadaan cuaca di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga dijangka bertambah baik dan kembali normal dalam tempoh tujuh hari ke depan.

"Dengan ini kita menamatkan segera amaran cuaca mengenai ribut ini yang dikeluarkan sejak 28 Disember lalu," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca yang dikemas kini di laman sesawang JMM dan aplikasi myCuaca.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 1:00pm
d