mutakhir

Nak jadi model, bagi gambar bogel dulu...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

IMPIAN gadis menjadi model pakaian tak kesampaian apabila dia diganggu lelaki gersang yang meminta dia mengambil gambar dalam keadaan berbogel.

Menurut sumber, mangsa berusia 23 tahun itu pada mulanya mengenali suspek pada 2 Januari lalu, selepas menerima mesej melalui Facebook ketika berada di rumahnya di Serdang di Bandar Baharu.

“Lelaki terbabit kemudian memberi nombor telefon bimbit sebelum mereka berhubung melalui WhatsApp.

“Dalam perbualan itu, suspek meminta butiran peribadi mangsa dan gambar untuk dihantar kepada majikannya sebagai syarat menjadi model pakaian,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian memberitahu jika diterima, majikannya akan menghubungi mangsa untuk diambil bekerja.

“Selang beberapa jam kemudian mangsa dihubungi lelaki lain mengaku sebagai majikan syarikat terbabit sebelum meminta dia menghantar gambar memakai baju kurung dan baju pengantin.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mengikut arahan suspek dan menyerahkan gambar itu menggunakan WhatsApp,” katanya.

Sumber itu berkata, bagaimanapun mangsa mula berasa pelik apabila suspek kemudian meminta dia mengambil gambar dalam keadaan berbogel.

“Mangsa enggan menyebabkan dia mengugut ingin menyebarkan gambar mangsa yang dihantar kepadanya sebelum itu.

“Bimbang dengan kejadian itu dan keselamatan diri mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Serdang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 2:32pm
d