mutakhir

Mesin simulator RM2.7 juta dirampas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS merampas lebih 1,000 unit mesin simulator untuk aktiviti perjudian dalam talian dianggarkan bernilai RM2.7 juta di sebuah gudang di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Serdang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menyerbu lokasi terbabit jam 1 pagi selepas membuat risikan sejak dua hari lalu berdasarkan maklumat awam.

“Ketika serbuan, tiada individu ditemui di dalam premis berkenaan sebaliknya hanya longgokan kotak mengandungi mesin simulator yang tidak berfungsi. Premis itu juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui mesin simulator dipercayai untuk dibekalkan di premis judi dalam talian di seluruh negara.

“Siasatan mendapati mesin simulator itu yang diimport dari luar negara dipercayai sudah disimpan dalam gudang terbabit, kira-kira dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Katanya, rampasan itu adalah terbesar membabitkan mesin simulator dipercayai digunakan untuk aktiviti judi dalam talian pada tahun ini.

“Kami sedang mengenal pasti dalang di sebalik sindiket ini termasuk pemilik gudang.

“Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 2:41pm
d