mutakhir

Asid nitrik tumpah, operasi kilang terhenti

Oleh Mohd Hilmie Hussin

TUMPAHAN kira-kira 500 liter cecair asid nitrik di sebuah kilang komponen komputer di Taman Teknologi Cheng, Melaka semalam menyebabkan operasi kilang itu terpaksa dihentikan sementara.

Kejadian jam 6 petang itu menyebabkan 200 kakitangan kilang berkenaan diarahkan keluar dari premis bangunan atas faktor keselamatan.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Zulkifli Nordin berkata, tumpahan cecair terbabit mewujudkan bau dan sangat berbahaya jika dihidu secara langsung.

Beliau berkata, tumpahan bahan kimia itu berlaku ketika kerja pemindahan cecair asid terbabit dilakukan di luar bangunan kilang.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.52 malam, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu dikejarkan ke lokasi bersama Unit Perkhidmatan Kecemasan Perubatan dan Menyelamat (EMRS) serta Unit Gerak Cepat Bermotosikal membabitkan 15 anggota.

“Apabila tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian, kita dapati ada tumpahan bahan kimia yang belum dikenal pasti sebelum menanti ketibaan Pasukan Unit Bahan Berbahaya dari BPP Alor Gajah bersama 15 anggota jam 8.30 malam,” katanya ditemui selepas tamat operasi awal pagi tadi.

Beliau berkata, lebih empat jam diambil bagi meneutral dan pembersihan tumpahan bahan kimia terbabit menggunakan ‘soda ash’ sebelum operasi tamat sepenuhnya jam 1.09 pagi.

Menurut Zulkifli, berdasarkan maklumat awal, cecair asid nitrik itu disimpan di dalam tangki 1,000 liter, tumpah ketika proses pemindahan bahan berkenaan dari luar ke dalam kilang menggunakan forklift.

Katanya, tumpahan terbabit menyebabkan cecair kimia yang mempunyai kepekatan 10 ‘parts per million’ dan bacaan ph 1.1 itu mengalir dalam radius kira-kira 10 meter persegi di luar bangunan kilang.

Beliau berkata, bahan kimia itu yang bersifat menghakis boleh membahayakan manusia seperti sesak nafas, pengsan atau kematian selain memberi kesan terhadap kulit jika terdedah terlalu lama.

Bagaimanapun beliau berkata, insiden itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Rasul Azli Samad

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 2:48pm
d