mutakhir

'Terima kasih kerana sudi menerimaku'

Oleh Mohd Rafi Mamat

“TERIMA kasih isteriku, Noor Aina Nasihat Mohd Al Shokre kerana sanggup menerima insan cacat ini sebagai suamimu,” kata pengantin baru, Anton Bakhtiar, 24.

Anton berasal dari Sandakan, Sabah berkata, dia seperti bermimpi hari ini apabila menempuh alam rumah tangga dalam suasana gembira dan meriah.

Menurutnya, selepas berkenalan selama lima tahun menerusi media sosial, akhirnya dia memutuskan mendirikan rumah tangga dengan Noor Aina yang berusia 18 tahun dari Kampung Padang Polo, Pekan bagi meneruskan janji setia sebagai suami isteri.

Dia yang bekerja di sektor swasta di Kuala Lumpur berkata, selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang perkenalan, akhirnya impian membina mahligai menjadi kenyataan walaupun dia dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU).

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kepada isteri yang ikhlas menerima saya tanpa rasa rendah diri bersuamikan insan OKU.

“Doakan kebahagiaan rumah tangga kami hingga ke akhir hayat. Selepas ini saya akan berusaha menerima budaya dan makanan daerah ini,” katanya yang ditemui pada majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Empire D’ Butik Lavida Magica membabitkan 10 pasangan di Dewan Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), di sini, hari ini.

Anton yang cacat di tangan dan kaki kanan berkata, majlis perkahwinan secara beramai-ramai hari ini dapat menjimatkan perbelanjaan apabila hanya perlu membayar RM3,000 saja.

Sementara itu, seorang lagi pengantin, Mohd Zamri Sani, 24, berkata, dia bersyukur dapat menyertai majlis perkahwinan secara beramai-ramai dalam suasana yang begitu ceria dan menghiburkan.

“Majlis hari ini menjadi sejarah dalam hidup saya dan isteri, Noorazyan Alias (24 tahun)... Saya tidak pernah menyangka memulakan alam rumah tangga di daerah ini, jauh dari tempat lahir kami di Kemaman, Terengganu,” katanya yang mengusahakan pusat mencuci kenderaan di Kemaman.

Sementara itu, penganjur, Ahmad Azriman Shah Abd Rajman berkata, pihaknya bertanggungjawab menguruskan semua aktiviti sepanjang program seperti pakaian, baca nikah, jamuan dan persandingan.

Katanya, setiap pasangan pengantin hanya perlu membayar RM3,000 bagi menyertai majlis perkahwinan yang kali pertama diadakan secara beramai-ramai di daerah ini.

“Saya bercadang menjadikan majlis perkahwinan ini sebagai acara tahunan bagi membantu menjimatkan perbelanjaan pasangan yang ingin mendirikan tangga,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 3:42pm
d