mutakhir

Media Prima-NSTP bantu Ecah berjalan semula [METROTV]

Oleh Mohd Noor Aswad

‘BAGAI bulan jatuh ke riba’. Itu ungkapan yang dapat menggambarkan perasaan Siti Nuraisyah Sahrin, 16, atau Ecah apabila mendapat ‘kaki baru’ sumbangan Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) di Kuala Lumpur, hari ini.

Ecah yang juga atlet paralimpik bagi sukan angkat berat menerima kaki palsu itu daripada wakil Media Prima, Mohd Farris Effendy dan Mohd Nadzrein Johari dalam satu majlis di Teh Lin Prosthetics and Orthopaedic Centre di Ampang.

Majlis penyerahan kaki palsu itu disaksikan ibu dan bapa Ecah, Roslan Sardi dan Maimunah Md Razali.

Ecah berkata, dia berterima kasih atas sumbangan yang sangat bermakna itu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya. Kaki baru ini akan mendorong saya untuk berusaha lebih keras mencapai matlamat saya,” katanya yang juga pemegang pingat emas dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Para di Perak November lalu.

Pada majlis itu, Ecah turut mencuba memakai kaki palsu berkenaan.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Bagan Terap itu kehilangan kedua-dua kakinya dalam satu kemalangan pada 18 Januari 2016 akibat digilis lori.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai dan setahun selepas kemalangan itu Ecah bergiat aktif dalam sukan angkat berat.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 4:48pm
d