mutakhir

Tak serik-serik

Oleh Hadzlihady Hassan

BIARPUN pernah dipenjara dan dijatuhkan hukuman sebat kerana mencabul, namun seorang lelaki masih tidak serik dan melakukan perkara sama terhadap dua wanita dalam kejadian di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Kampung Terang, Balik Pulau.

Dalam kejadian pertama jam 8.30 malam Khamis lalu, seorang wanita yang bekerja sebagai kerani berusia 22 tahun diraba di dada oleh lelaki terbabit ketika dia sedang menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 25 tahun yang juga menunggang motosikal ketika itu menghimpit mangsa hingga wanita terbabit terpaksa berhenti di tepi jalan.

Menurutnya, suspek meraba dada mangsa yang kemudian menjerit membuatkan lelaki itu memecut motosikalnya.

“Mangsa sempat melihat jenis motosikal ditunggang suspek iaitu Yamaha LC hitam namun tidak sempat mencatat nombor pendaftaran,” katanya.

Anbalagan berkata, dalam satu lagi kes, seorang jurujual wanita berusia 21 tahun turut dicabul dengan cara sama di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Terang, Balik Pulau, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal turut dihimpit suspek yang kemudian meraba dadanya.

“Bagaimanapun, mangsa sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek.

“Susulan daripada itu, kita berjaya menahan suspek hari ini di rumahnya di Kuala Jalan Bahru,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kedua-dua perbuatan cabul terbabit.

“Pemeriksaan juga mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes cabul dengan dua daripadanya sudah dikenakan hukuman iaitu penjara dan sebat.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 5:32pm
d