mutakhir

Nelayan 'hilang' ditemui selamat

Oleh Mohd Hilmie Hussin

“SEBAK apabila mengetahui orang ramai berkumpul dan mula mencari kami bertiga walaupun kami sebenarnya selamat,” kata nelayan, Omar Osman, 46.

Menceritakan detik ‘kehilangan’ bersama adiknya, Abu Bakar, 38, dan sepupu, Tun Samad Suman, 40, Omar berkata, mereka bertiga ke laut jam 7 pagi semalam sebelum kebiasaannya pulang antara jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang.

Bagaimanapun katanya, hajat untuk kembali ke daratan ditangguhkan selepas laut bergelora sebelum mereka melabuhkan sauh 5.3 batu nautika jarak dari Pulau Undan.

“Kami tenang saja di lautan berhampiran sempadan perairan antarabangsa.

“Saya putuskan untuk menunggu gelora kuat itu reda kerana bimbang bot karam.

“Sempat juga saya WhatsApp isteri dan abang ipar namun jam 7 petang baru mereka terima kerana ketiadaan liputan Internet, sepatutnya saya kirim melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Larang, Pernu, Melaka hari ini.

Omar berkata, sepanjang dilambung gelora di lautan, mereka bertiga tenang saja kerana pernah menempuh detik lebih cemas termasuk berdepan puting beliung tidak jauh dari bot gentian berenjin 60 kuasa kuda serta berukuran 8.5 meter itu.

Katanya, jam 4 petang gelora di lautan mulai berkurang sebelum mereka bergerak pulang ke darat.

Bagaimanapun, ketika menghampiri Pulau Hanyut, mereka terkejut apabila bertembung dengan dua bot nelayan yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

“Rakan beritahu kami jangan terkejut kerana pelbagai pihak termasuk ahli keluarga sudah berkumpul di jeti.

“Mereka juga sudah melancarkan misi SAR kerana bimbangkan keselamatan kami.

“Ketika itu saya sangat sebak dan terperanjat kerana ramai mencari disebabkan kami lewat pulang daripada kebiasaan. Keselamatan kami, mungkin berkat doa semua termasuk emak dan ayah,” katanya yang membawa pulang hasil lebih 100 kilogram ikan pari, semalam.

Pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit dalam SAR dan berkumpul di Jeti Nelayan Umbai-Pernu di sini.

Disiarkan pada: January 5, 2019 @ 6:04pm
d