mutakhir

Buru dua suspek curi wang masjid

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS sedang mengesan dua lelaki berusia lingkungan 20-an yang masuk dan mencuri duit di dalam tabung di Masjid Ar Rahman Pangkal Kalong, Kok Lanas, bulan lalu.

Dalam kejadian 3 petang, 25 Disember itu, dua suspek dilihat melakukan perbuatan itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di masjid terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihak masjid hanya menyedari kejadian itu selepas membuat pemeriksaan di CCTV masjid itu.

Katanya, imam masjid itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kok Lanas, 8.54 malam tadi untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan CCTV masjid itu, melihat dua lelaki yang tidak dikenali menunggang motosikal sebelum masuk ke dalam masjid itu.

"Suspek kemudian masuk ke dalam masjid dan mencuri duit di dalam dua tabung masjid itu sebelum melarikan diri.

"Mereka menganggarkan kerugian antara RM50 sehingga RM100 sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis sudah mengenalpasti suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta menghubungi balai berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 9:08am
d