mutakhir

18 warga asing dikehendaki ESSCOM

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengeluarkan senarai terkini 18 suspek dikehendaki, termasuk tujuh individu baharu yang disyaki terbabit dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah.

Tujuh individu baharu itu adalah Salip Mura, Sibih Pisih, Titing Alihasan @ Iyot Panday, Roger Saji, Long Sahirin, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw dan Ben Tatoh.

Difahamkan Salip dan Sibih serta individu terbaharu itu adalah pemimpin Abu Sayyaf yang aktif dalam aktiviti culik untuk wang tebusan (KFR) di perairan timur Sabah.

Kesemua mereka termasuk 11 suspek dalam senarai sedia ada adalah warga asing dan pihak ESSCOM juga mengedarkan wajah mereka untuk membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.

Pemeriksaan NSTP mendapati, antara disenaraikan ialah Idang Susukan @ Abu Jihad yang disyaki bertanggungjawab memenggal kepala warga Malaysia, Bernard Then Ted Fen, yang diculik di restoran makanan laut dekat Sandakan, beberapa tahun lalu, selain komander kumpulan Abu Sayyaf, Hatib Sawadjan.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua individu terbabit dikehendaki bagi membantu pasukan keselamatan khususnya ESSCOM menyelesaikan beberapa kes jenayah rentas sempadan di perairan timur Sabah sepanjang tahun lalu.

"Sehubungan itu, kami meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat kepada ESSCOM dan pasukan keselamatan.

"Ini bagi membolehkan kita mengesan kedudukan mereka termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha kita untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hazani berkata, senarai itu dikeluarkan selepas pihaknya mengemasikini dan menjalankan siasatan, termasuk mendapat pengesahan pasukan keselamatan Filipina.

"Senarai baru individu yang dikehendaki itu disyaki terbabit merancang beberapa kes jenayah rentas sempadan dan masih bergiat aktif serta belum ditahan sepanjang tahun lalu di perairan ESSZONE.

"Sejak Januari 2016, ESSCOM mengeluarkan senarai 45 individu dikehendaki dan daripada jumlah itu, 29 dikeluarkan daripada senarai kerana ditembak mati atau menyerah diri kepada pihak berkuasa Filipina.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp ke 019-230 5909 atau balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 10:29am
d