mutakhir

Pastikan tiada lompong inkues

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN akan memastikan tiada ruang lompong berlaku ketika prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bermula 18 Januari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata, ini berikutan pihaknya tidak mahu isu kes kematian Muhammad Adib dipolemikan oleh pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan.

Katanya kes itu disiasat mengikut prosedur yang tepat dan teliti serta diutamakan berikutan ia adalah kes nasional.

"Kita utamakan kes Muhammad Adib dengan mengikut semua prosedur, kerana itu kita melakukan bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham, doktor pakar yang merawat serta melakukan bedah siasat juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dan laporan bedah siasat kepada majistret tidak lama lagi.

"Kita tak mahu ada yang tertinggal satu pun atau ada ruang lompong, apabila ia dibangkitkan di mahkamah, kita sudah bersedia semuanya. Jika tidak nanti jadi isu lain dan pihak tertentu akan ambil kesempatan.

"Jangan polemikkan isu ini selain daripada isu bahawa anggota bomba meninggal dalam insiden rusuhan dan menjadi wira negara dan harus diberi keadilan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, mengikut perkembangan terkini yang diterimanya beberapa saksi baharu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya sebelum ini kira-kira 20 saksi sudah dipanggil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat polis dan saksi baharu itu dihubungi dan bersedia memberi keterangan.

"Kita tidak tahu berapa lama inkues ini akan berjalan, selalunya ia mengambil masa sebulan tapi mungkin kes ini dapat diselesaikan cepat apabila semua maklumat lengkap,"katanya.

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang parah akibat dipukul sekumpulan perusuh ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 November lalu, meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 10:46am
    d