mutakhir

Laporan siasatan 6 bomba lemas hampir siap

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LAPORAN penuh siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi yang mengorbankan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lombong Taman Putra Perdana sudah di peringkat akhir.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, laporan penuh itu akan dibentangkan kepada kabinet terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.

"Kes ini disiasat oleh jawatankuasa bebas yang dianggotai oleh ahli akademik, pakar menyelamat air dan golongan profesional serta diketuai oleh seorang profesor daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Laporan itu sudah di peringkat akhir dan kita akan bentang kepada kabinet terlebih dahulu sebelum kepada orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas melawat rumah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Zuraida berkata, enam anggota bomba itu turut dinaikkan pangkat sama seperti Muhammad Adib,24, bagi membolehkan waris menerima pencen yang lebih baik.

Malah katanya, kebajikan keluarga itu turut dijaga menerusi Tabung Wira Merah yang dilancarkan 9 Oktober lalu.

Pada 3 Oktober lalu, kesemua enam anggota bomba itu dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor lemas akibat dibawa arus deras.

Mereka terkorban ketika misi mencari dan penyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang tergelincir dari jambatan berhampiran lombong itu.

Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

  • Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas
  • Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 11:18am
    d