mutakhir

Doktor kena tipu dalam talian

Oleh Shahrinnahar Latib

DOKTOR kerugian RM3,700 apabila diperdaya sindiket penipuan dalam talian Jumaat lalu.

Pada mulanya, mangsa dari Kuantan, Pahang mahu menjual penghawa dingin RM1,000 di dalam satu laman web jual beli terkemuka, Jumaat lalu.

Bagaimanapun mangsa diperdaya ‘pembeli’ berkenaan.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 26 tahun dan tinggal di Taman Bukit Setongkol Maju di sini memuat naik iklan ke dalam laman web berkenaan bagi menjual penghawa dingin miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menerima mesej daripada lelaki yang memperkenalkan diri Webb Barry Lee yang memaklumkan dia berminat membeli barangan elektrik itu.

“Suspek kemudian bersetuju membeli pada harga RM1,000. Selepas itu, mangsa memberi nombor akaunnya kepada suspek untuk proses pembayaran.

“Pada hari sama, suspek mendakwa dia sudah memasukkan wang berkenaan.

“Mangsa diminta menyemak emelnya dan mendapati terdapat emel daripada Bank Pan Air melalui ‘international fund transfer’.

“Dalam emel itu menyatakan mangsa perlu membayar duit pemprosesan kepada ejen kerana duit itu dibayar melalui akaun luar negara berjumlah RM3,700,” katanya hari ini.

Beliau berkata, tanpa berfikir panjang, mangsa membuat lima kali pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek namun selepas membuat semua pembayaran itu, suspek meminta lagi mangsa menambah pembayaran RM5,000.

“Mangsa yang pelik dengan permintaan suspek itu kemudian menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 12:12pm
d