mutakhir

Bekas pemandu lori mohon kaki palsu

Oleh Shahrinnahar Latib

BEKAS pemandu lori berusia 48 tahun yang kudung kaki kanan kerana terpaksa dipotong akibat kencing manis berharap dapat memiliki kaki palsu bagi memudahkannya bergerak.

Rohimi Musa dari Kampung Selindang, Padang Tengku, Lipis, Pahang berkata, dia memerlukan kaki palsu untuk berulang alik ke hospital tiga kali seminggu bagi menjalani rawatan dialisis buah pinggang.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, dia menghidap penyakit itu ketika berusia 33 tahun namun pada Februari tahun lalu, kaki kanannya terpaksa dipotong berpunca dari luka di bahagian tapak kaki yang tidak sembuh.

“Tapak kaki saya luka selepas terpijak batu ketika membantu isteri melakukan kerja di luar rumah.

“Selepas itu, luka berkenaan merebak dan kaki saya dari lutut ke bawah terpaksa dipotong.

“Bagaimanapun, dua jari kaki kiri juga terpaksa dibuang pada Mac tahun lalu kerana melecet.

“Selain itu, saya juga mengalami masalah kegagalan buah pinggang kronik dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu,” katanya hari ini.

Rohimi berkata, kehidupannya sekeluarga semakin terhimpit memandangkan dia sudah tidak bekerja sekali gus tidak mampu menampung perbelanjaan membuat kaki palsu yang kosnya mencecah RM6,000.

“Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak (Rabiatul Adawiyah,15,) yang bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.

“Isteri (Nor Madiah Hassan, 52,) tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga saya termasuk membawa ke hospital,” katanya.

Rohimi turut merayu bantuan orang ramai untuk meringankan beban kewangannya.

Mereka yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) di akaun bernombor 0610041800638366.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 2:17pm
d