mutakhir

Yamani Hafez akhirnya pulang

Oleh Wan Faizal Ismayatim

YAMANI Hafez Musa, anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilaporkan sudah tiba di tanah air untuk hadir upacara mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, esok.

Yamani Hafez yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sipitang, Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu, adalah satu-satunya wakil rakyat yang belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Seorang pengguna Twitter dengan nama Julia ABT semalam memuat naik sekeping gambar menunjukkan lelaki berjalan membelakangkan kamera dengan kenyataan: “Alhamdullillah. YB @yamanihafez sudah selamat tiba di tanah air. YB akan mengangkat sumpah sebagai MP pada Isnin ini, Insha Allah.”

Usaha menghubungi Yamani Hafez bagaimanapun tidak berhasil.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah itu dilaporkan menghilangkan diri selepas PRU-14 dan dikatakan berada di luar negara bagi menemani bapanya yang mendapatkan rawatan kesihatan.

Bulan lalu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff dilaporkan berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat ingatan terakhir kepada Yamani Hafez untuk hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang sebelum sidang berakhir pada 11 Disember.

Beliau juga mengesahkan Yamani Hafez belum menjawab beberapa surat berhubung perkara itu.

Berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan mulai dari tarikh Dewan Rakyat mula bersidang, akan hilang kelayakan.

Ia bermakna Yamani Hafez, 39, mempunyai tempoh sehingga bulan ini untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen atau kekosongan kerusi Parlimen Sipitang akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan pilihan raya kecil.

Bagaimanapun, Pejabat Parlimen pada 19 Disember lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Yamani Hafez akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi di Kamar Khas Dewan Rakyat di hadapan Speaker pada 7 Januari.

Yamani Hafez adalah antara lima Ahli Parlimen dari UMNO Sabah yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, bulan lalu.

Berita berkaitan

Yamani tak pernah hubungi UMNO Sipitang

Yamani Hafez nak jadi Ahli Parlimen atau tak?

Anak Musa Aman berdepan hilang kelayakan

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 3:12pm
d