mutakhir

Mangsa sering jadi sasaran belasahan suspek

Oleh Hadzlihady Hassan

“DIA memang suka naik angin, kalau salah sikit pun nak mengamuk dan marah anak-anaknya,” kata Manaf Taha, 80, datuk angkat kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang melecur disimbah air panas oleh bapanya dalam kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Georgetown, bulan lalu.

Katanya, ibu kanak-kanak terbabit adalah anak angkat yang dipeliharanya sejak kecil dan dia kecewa dengan sikap menantunya yang tergamak menyimbah air panas terhadap cucunya itu.

“Saya memang kesal dengan perbuatannya itu dan berharap dia segera menyerah diri kepada polis bagi membantu siasatan.

“Buat apa nak lari, lama-lama nanti kena tangkap juga dengan polis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Kampung Melayu, Air Itam, hari ini.

Menurutnya, mereka semua tinggal berjiran dan sejak perbuatan mencurah air panas terhadap cucunya itu, anak angkat dan menantunya langsung tidak pulang kerana bimbang dicekup polis.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kanak-kanak perempuan terbabit dicurah air panas berikutan bapanya berang kerana makanan disediakan isterinya dihabiskan empat anaknya yang berusia tiga hingga sembilan tahun.

Dia yang naik angin dan berang kerana lapar bertindak mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka.

Suspek juga bertindak menyimbah semangkuk air panas yang diambil daripada mesin penapis air minuman di ruang tamu ke arah mangsa.

Difahamkan, mangsa yang juga anak tunggal perempuan itu memang sentiasa menjadi pelepas geram bapanya itu setiap kali dia naik angin walaupun hanya kesalahan kecil dilakukannya.

Mangsa berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala dua adik beradik lelakinya berada di bawah jagaan ahli keluarga lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis masih mengesan dan meminta suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar itu menyerah diri.

Suspek yang mengalami kecacatan di tangan kanan dan hanya tangan kirinya berfungsi itu melarikan diri bersama isteri dan anak bongsu mereka.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 3:43pm
d