mutakhir

'Angkut air lima kali sehari' [METROTV]

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

HAMPIR 600 keluarga di empat blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka mendakwa aktiviti harian mereka terjejas susulan ketiadaan bekalan air di kawasan perumahan itu sejak Khamis lalu.

Penduduk mendakwa, ia berpunca apabila paip bocor di kawasan berhampiran yang menyebabkan tekanan air rendah selain tangki penyelenggaraan turut rosak sehingga terpaksa bergantung pada bekalan air di surau berhampiran.

Penduduk Blok A, Siti Zarah Borhan, 36, berkata, dia terpaksa berulang-alik ke surau bagi mengisi bekalan air ke rumahnya di tingkat enam sekurang-kurangnya lima kali sehari sejak terputus bekalan air.

Katanya, dia terpaksa menyelesaikan urusan tiga anaknya masing-masing berusia lima bulan sehingga tujuh tahun sebelum bersiap untuk bekerja sebagai operator pada syif malam.

“Sementara saya mengisi air, suami tolong jaga bayi tetapi sampai bila masalah ini hendak selesai.

“Memang kecewa kerana ia menyukarkan kerja harian malah anak pula hendak bersekolah esok,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong, Abdullah Omar, 53, berkata, masalah itu menyusahkan penduduk terutama warga emas dan anak kecil serta mereka yang tinggal di tingkat atas untuk mengangkut bekalan air.

“Saya difahamkan puncanya dari tangki utama. Saya ada naik ke tangki dua hari lalu dan melihat sendiri air susut tetapi tak tahu dari mana masalahnya,” katanya.

Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada pegawai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen selain berharap Lembaga Perumahan Melaka (LPM) segera menghantar bekalan air ke kawasan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap LPM mendakwa, kejadian itu dipercayai berpunca daripada paip pecah di Krubong Utama.

“Kawasan perumahan itu tiada tangki individu (setiap rumah) yang mana bekalan air terus ke dua tangki utama.

“Apabila paip sudah dibaik pulih semalam, ia sepatutnya mengambil masa sehari untuk penuh,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 4:15pm
d