mutakhir

Datuk disyaki dera cucu

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DATUK berusia 47 tahun ditahan polis Khamis lalu, selepas pegawai perubatan hospital menemui dua kesan cucuhan rokok di bahu kanan dan bahagian kiri perut cucunya berusia setahun disyaki didera.

Difahamkan, kesan cucuhan rokok itu ditemui ketika bayi lelaki itu dibawa untuk mengambil suntikan imunisasi di Hospital Batu Gajah oleh pengasuhnya.

Bayi itu dipercayai dihantar untuk dijaga pengasuh oleh suspek serta neneknya berikutan kedua-dua ibu bapa bayi berkenaan sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pegawai perubatan yang ingin memberikan suntikan imunisasi kepada mangsa terkejut apabila menemui dua kesan cucuhan rokok di bahu kanan dan bahagian perut kiri.

Katanya, pegawai perubatan itu kemudiannya bertanyakan kepada pengasuh mengenai kesan itu dan diberitahu kesan itu dilakukan oleh datuk mangsa sebelum dihantar kepadanya.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan kemudiannya mendapati pengasuh berkenaan tidak terbabit dengan kesan cucuhan rokok itu dan polis kemudiannya menahan datuk mangsa untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal polis mendapati semasa hari kejadian iaitu pada Rabu lalu, mangsa dijaga oleh suspek di rumahnya di Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah kerana pengasuh hadir pendaftaran persekolahan anaknya dan pada hari itu juga suspek tidak bekerja.

“Semasa soal siasat, suspek mendakwa ketika menanggalkan pakaian mangsa kerana bayi itu membuang air besar, dia sedang menghisap rokok dan rokok terkena pada bahu kanan mangsa sebelum jatuh terselit pada lampin yang dipakai mangsa,” katanya selepas Hari Bertemu Pelanggan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Ahmad Adnan berkata, suspek juga dipercayai tidak membawa mangsa ke klinik atau hospital untuk rawatan selepas terkena rokok dan hanya meletakkan kicap pada kesan terbakar di badan mangsa.

Katanya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ujian air kencing dijalankan mendapati suspek negatif dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan manakala mangsa kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 4:37pm
d