mutakhir

Guna air dari Gunung Ledang sejak 68 tahun

Oleh Badrul Kamal Zakaria

SERAMAI 12 guru dan 88 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Ledang di Tangkak, terpaksa menggunakan sumber air dari Gunung Ledang berikutan ketiadaan kemudahan air terawat sehingga berdepan risiko masalah kesihatan.

Lebih malang, sumber air gunung yang sudah digunakan sekolah itu sejak 68 tahun lalu juga tidak dapat digunakan ketika waktu hujan kerana airnya akan keruh dan berkeladak.

Guru Besar, Mastura Ismail berkata, keadaan itu membimbangkan pihaknya

memandangkan ia boleh menjejaskan kesihatan murid dan guru di sekolah berkenaan.

“Kita menggunakan sumber air dari Gunung Ledang sejak sekolah ini dibuka pada 1951, walaupun tidak pasti mengenai kualiti dan kebersihan air ini, namun ketiadaan sumber air terawat menyebabkan kami terpaksa menggunakannya setiap hari.

“Mungkin masalah ini tidak berlaku ketika itu (pada peringkat awal sekolah dibuka) kerana mungkin tiada pencemaran, namun sekarang wujud pelbagai aktiviti di kawasan gunung yang mencemarkan airnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP selepas menyertai lawatan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang meninjau masalah berkenaan di SK Puteri Ledang hari ini.

Mastura berkata, ia berikutan guru dan murid di sekolah berkenaan pernah mengalami masalah kesihatan seperti kegatalan pada kulit, selain beberapa kes cirit-birit.

Katanya, beliau bimbang jika masalah ini tidak diatasi ia boleh menyebabkan penyakit seperti kencing tikus atau penyakit bawaan air lain yang membahayakan kesihatan warga sekolah.

“Pihak kantin sekolah juga terpaksa menggunakan kemudahan air dari mesin osmosis di kawasan lain atau bekalan air dari rumah sebelum di masak demi kesihatan guru dan murid.

“Namun, kami terpaksa menggunakan air gunung ketika membasuh tangan, berkumur, bersuci atau berwuduk dan risiko mendapat penyakit masih lagi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah berkenaan demi kesejahteraan warga sekolah dan tidak mahu perkara itu menjejaskan kualiti pengajaran serta pembelajaran.

“Kita dapat aduan daripada sekolah berkaitan kes ini. Kami bimbang jika masalah ini tidak diatasi akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain seperti kencing tikus, taun dan penyakit berbahaya lain.

“Kita juga mendapat tahu pihak Syarikat Air Johor (SAJ) mempunyai rancangan untuk menyalurkan air ke sekolah ini namun saya khuatir kosnya agak tinggi kerana perlu menyambung paip dari Pekan Sagil, selain perlu memberikan keutamaan ke kawasan lain.

“Justeru itu, saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan meminta pihak sekolah menyediakan maklumat supaya masalah ini akan dapat diatasi dengan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara sama juga akan dibawa kepada Pejabat Daerah dan pihak bertanggungjawab lain kerana isu ini sudah ditanggung sekolah sejak sekian lama.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencari alternatif lain bagi membantu pihak sekolah termasuk memastikan kemudahan telaga tiub dapat kembali berfungsi, selain mengajak beberapa syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang penapisan air supaya membantu mengatasi masalah ini.

“Kami juga akan meminta kerajaan termasuk kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 5:13pm
d