mutakhir

Lelaki telekung pecah tabung masjid [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

BILAL Masjid Badariah, Batu 12, Kapar, Klang hanya mampu beristighfar apabila melihat tabung masjid itu dipecahkan lelaki yang memakai telekung semalam.

Difahamkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu, lelaki yang berpakaian biasa itu mengumpil dan memecahkan tabung berkenaan jam 1.30 pagi.

Siak masjid itu, Dzulkefli Arshad, 50, berkata, kejadian disedari bilal yang sedang bersiap melaungkan azan Subuh jam 5.30 pagi.

“Terkejut dengan keadaan itu, bilal kemudian memaklumkan kepada saya dan jemaah lain supaya turut melihat tabung terbabit.

“Hasil pemerhatian CCTV mendapati penjenayah memasuki ruang utama solat masjid dengan memakai telekung dipercayai diambil dari ruang solat wanita.

“Lelaki itu turut bertindak menolak CCTV ke arah mimbar masjid sebaik menyedari kegiatannya itu dirakam,” katanya ditemui hari ini.

Dzulkefli berkata, kejadian itu turut dirakam sebuah lagi CCTV yang mendapati lelaki itu membuka telekung berikutan kepanasan dan duduk di sebuah kerusi.

Dia tidak menolak kemungkinan lelaki itu menyangka wang tabung terbabit banyak berikutan sumbangan orang ramai pada solat Jumaat lalu.

“Rutin saya sememangnya mengeluarkan hasil sumbangan orang ramai pada hari sama dan wang yang dicuri lelaki itu berkemungkinan hanya puluhan ringgit.

“Kejadian itu bukan kali pertama berlaku kerana tiga kes dilaporkan tahun lalu,” katanya yang berharap penjenayah itu insaf dengan perbuatannya yang mencuri di rumah Allah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 5:56pm
d