mutakhir

Terima kasih bomba....

Oleh Ramli Ibrahim

WANITA Orang Asli di Kampung Piyel, Pos Bihai di Gua Musang yang mengalami sesak nafas akibat diserang demam panas diselamatkan menerusi penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Mangsa Sarina Aweh, 32, dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Azizul Abok, 32, berkata, isterinya diserang demam panas sejak sebulan lalu namun tidak dapat dibawa ke hospital berikutan jalan rosak teruk akibat hujan.

“Sudah beberapa kali isteri saya dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke hospital, namun terpaksa berpatah balik kerana jalan rosak.

“Melihat keadaan isteri yang semakin serius, saya maklumkan perkara itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk tindakan lanjut.

“Mujur ada bantuan penerbangan ihsan yang membawa isteri saya untuk mendapatkan rawatan selepas sekian lama terlantar,” katanya ditemui ketika mengiringi isterinya ke HGM.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada JAKOA Gombak jam 11 pagi.

Katanya, penerbangan ihsan diketuai Juruterbang Penguasa Kanan Bomba I, Sofian Ahmed kemudian berlepas 2.50 petang dan mendarat di Kampung Piyel, Pos Bihai petang untuk mengambil pesakit kritikal terbabit.

“Sebaik tiba, pesakit terus dibawa dan mendarat di Padang Pusat Sivik Bandar Gua Musang jam 4.35 petang sebelum terus dikejar ke hospital dengan ambulans disediakan

“Kita difahamkan mangsa dilaporkan stabil selepas menerima rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 6:06pm
d