mutakhir

Harap Adib dapat dibawa pulang esok....

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“WALAUPUN wang RM51,000 sudah mencukupi namun ia hanya untuk jaminan saja, saya masih memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 lagi untuk kos membawa balik anak saya, Wan Mohd Amirul Adib Wan Mohd Subhi, 22, esok,” kata Siti Zubaidah Saad, 48.

Wan Mohd Amirul ditahan ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Thailand kerana membawa walkie talkie ketika membawa tujuh pelancong dari negara ini pada 14 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, Siti Zubaidah berkata, mereka sekeluarga terpaksa mengumpul wang termasuk menggadai barangan serta merayu sumbangan orang ramai untuk mendapatkan wang bagi menjamin anak ketiga dari lima beradik itu.

“Kali terakhir saya dapat bertemu anak 27 Disember lalu di pusat tahanan di Nathawi, Thailand dan dia dalam keadaan murung dan tertekan.

“Kami hanya dapat berhubung melalui telefon dan dia reda dengan apa yang berlaku sambil memberitahu mungkin dia akan ditahan setahun atau dua tahun.

“Tetapi kami berusaha untuk menjamin dan membawanya pulang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Lumba Kuda, Alor Setar hari ini.

Siti Zubaidah berkata, baki wang yang belum cukup diperlukan untuk kos perjalanan, makan minum dan upah peguam.

Malah, katanya, mereka juga dijangka perlu membayar kos tahanan satu hari RM50 seperti yang dimaklumkan pihak Thailand kepada mereka.

Katanya, mereka akan bertolak ke Thailand esok bersama Pegawai Menteri Besar, Mohd Azril Ramli dan ARMADA Bersatu Pendang.

“Anak sulung saya, Wan Mohd Amirul Afiq, 25, akan turut serta esok untuk proses jaminan dan membawa pulang Adib.

“Dah banyak hari saya fikirkan masalah ini dan berharap proses membawa pulang Adib dipermudahkan dan berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya.

Siti Zubaidah berkata, anaknya yang sudah berkahwin dengan Nur Afiqah Baharuddin, 22, dan mempunyai seorang anak lelaki, Wan Muhd Althaffirash, 2, pertama kali membuat kerja sampingan sebagai pemandu pelancong.

Bagaimanapun, dia ditahan kerana kesalahan membawa walkie talkie dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai permit kenderaan serta pelbagai kesalahan lain.

Sehubungan itu katanya, dia merayu orang ramai supaya dapat membantunya menghulurkan sumbangan bagi membolehkan anaknya dibawa pulang segera.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 152023659716 atau menghubunginya di talian 012-6207872.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 6:46pm
d