mutakhir

Kembalikan waktu operasi asal UTC- Exco

Oleh Ifwan Tun Tuah

KERAJAAN diminta mengembalikan semula waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban di Ampangan, kepada waktu asal bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, beliau sudah memohon kepada Kementerian Kewangan supaya memberi pengecualian arahan memendekkan waktu operasi di UTC berkenaan.

“Kita dapati UTC ini dikunjungi ramai orang yang datang dari jauh termasuk luar daerah Seremban dengan sebahagian daripada mereka adalah golongan warga emas yang mahu mendapatkan perkhidmatan di pusat sehenti itu.

“Langkah memendekkan operasi kepada 7 malam seperti yang diputuskan kerajaan baru-baru ini memang menyukarkan golongan terbabit.

“Berdasarkan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini, kita yakin akan ada hasil yang positif kerana matlamat kerajaan adalah memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis minum petang bersama pemimpin masyarakat di DUN Ampangan, Seremban, hari ini.

Bermula 1 Januari lalu, kerajaan mengarahkan UTC di seluruh negara beroperasi dari 8 pagi hingga 7 petang, berbanding sehingga 10 malam sebelum ini.

Sementara itu, Dr Mohamad Rafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri mengumumkan tiga projek membabitkan kos keseluruhan RM40 juta di Ampangan.

Ia termasuk pembinaan Pasar Baharu Ampangan berhampiran UTC Seremban yang turut menempatkan 302 lot letak kereta bagi kemudahan pengunjung pusat berkenaan.

Katanya, Kementerian Kewangan turut meluluskan pembinaan jejantas dari UTC itu ke Medan Selera Ampangan, selain pembinaan Dewan Orang Ramai di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: January 6, 2019 @ 7:49pm
d